KUALA LUMPUR: Keberkesanan peruntukan bagi sektor keselamatan dan pertahanan dalam Belanjawan 2027 tidak harus diukur semata-mata berdasarkan angka dibelanjakan, tetapi mesti dinilai melalui tahap kesiapsiagaan sebenar yang terhasil daripada peruntukan berkenaan.
Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nur Surayya Mohd Saudi, berkata peruntukan berjumlah RM44 bilion secara kumulatif untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan, merupakan satu komitmen fiskal yang signifikan.
Namun, beliau yang juga Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, kecukupan peruntukan terbabit perlu dinilai berdasarkan bentuk ancaman moden, keluasan operasi, kondisi aset semasa dan keupayaan akhir yang berjaya dihasilkan.









