MIRI: Hasrat dua lelaki memiliki kereta terpakai berakhir dengan kerugian selepas diperdaya individu menyamar orang tengah atau broker urusan jual beli kenderaan menerusi Facebook.
Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 41 dan 45 tahun itu membuat pembayaran ke akaun bank pihak ketiga selepas berurusan dengan individu terbabit melalui WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohamad Farhan Lee Abdullah, berkata pihaknya menerima dua laporan berhubung kes penipuan itu pada 8 Oktober lalu.
Dalam kes pertama, mangsa berusia 41 tahun tertarik dengan iklan penjualan Perodua Myvi 1.3 Auto keluaran 2013 berwarna hitam pada harga RM4,500 yang dipaparkan di Facebook.








