Kuala Lumpur: Komitmen untuk memansuhkan sistem doktor kontrak di Malaysia perlu disusuli penambahbaikan gaji, sistem penempatan yang lebih adil serta laluan latihan yang lebih jelas bagi mengekalkan doktor dalam perkhidmatan awam.
Pengerusi Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Sean Thum Chern Choong berkata, pengumuman dalam Belanjawan 2027 itu memberi kelegaan besar selepas bertahun-tahun doktor berdepan ketidaktentuan mengenai masa depan kerjaya mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata, komitmen itu perlu disusuli langkah pelaksanaan yang jelas.
"Keperluan penjagaan kesihatan bersifat jangka panjang, manakala proses melatih seorang doktor mengambil masa bertahun-tahun. Kita tidak boleh terus meminta doktor muda menumpukan kehidupan mereka kepada perkhidmatan awam sedangkan mereka masih tidak pasti sama ada mempunyai tempat untuk berkhidmat selepas kontrak seterusnya tamat," katanya kepada Bernama.






