Putrajaya: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) sedang meneroka peluang menembusi pasaran Mesir menjelang akhir 2027 atau 2028, dengan merancang menjadikan negara itu sebagai hab eksport strategik untuk motosikal keluarannya ke seluruh Afrika dan Timur Tengah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Roslan Roskan berkata, syarikat itu kini dalam perbincangan dengan rakan kongsi berpotensi dari Mesir yang berminat dengan model skuter dan motosikal elektrik dan ia akan menyediakan sampel produk tidak lama lagi untuk penilaian pasaran dan penentuan harga.

Beliau berkata, inisiatif itu hasil daripada jemputan oleh Proton, yang juga anak syarikat dalam kumpulan DRB-HICOM pada tahun lalu untuk meneroka peluang mengeksport motosikal ke Mesir menerusi rangkaian perniagaannya yang sedia ada. Modenas juga anak syarikat DRB-HICOM.