ALOR SETAR: Seorang ibu yang berjuang membesarkan empat anak dengan mencari kotak terpakai selepas kematian suami akibat kanser buah pinggang lima tahun lalu, dipilih Ikon Wanita Tabah 2026 anjuran Cancer Survivors Malaysia (CSM).

Nor Aza Hamzah, 44, menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan cenderahati disampaikan isteri Menteri Besar Kedah, Tok Puan Jusmalailani Jusoh di Dewan Seri Mentaloon, di sini, semalam.

Dua pesakit kanser, Jimat Hassan, 84, dan dan Norhayati Sahak, 45, turut menerima penghargaan sama, pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi CSM, Zuraini Kamal di Dewan Seri Mentaloon, di sini, semalam.

Sejak kehilangan suaminya, Mohd Asri Zakaria, Nor Aza mencari sumber pendapatan dengan mencari kotak, menjual minyak masak terpakai dan menyiang ikan keli di pasar demi membesarkan anak-anaknya, Aqil Amjad, 13, Aina Aqila, 12, Alim Ajwad, 8, dan Aimy Mariam, 6.