KUALA LUMPUR: Lebih 400,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan bulanan bawah RM2,500 bakal mendapat manfaat daripada inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata inisiatif itu antara empat langkah diperkenalkan kerajaan bagi meringankan beban peminjam, selain memastikan kelestarian dana pembiayaan pendidikan tinggi negara.

Kerajaan turut menetapkan bayaran balik minimum RM50 sebulan bagi peminjam berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000.

"Sebagai pengiktirafan kepada peminjam yang berdisiplin dalam melaksanakan tanggungjawab pembayaran balik, diskaun 10 peratus diberikan kepada peminjam aktif yang tidak mempunyai tunggakan serta membuat bayaran secara konsisten dan teratur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.