KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima dokumen permohonan naturalisasi pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City), Giancarlo Gallifuoco, yang kini sedang diproses oleh sekretariat badan induk itu.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah mendapatkan pengesahan daripada Setiausaha Agung FAM berhubung penerimaan dokumen berkenaan, namun Gallifuoco masih perlu melalui beberapa proses sebelum permohonannya dapat diputuskan.
"Dokumen itu masih di peringkat sekretariat. Saya sudah bertanya Setiausaha Agung, ya (benar FAM sudah terima dokumen daripada Gallifuoco).
"Bagaimanapun, masih ada proses tertentu yang perlu dilalui oleh Gallifuoco," katanya ketika ditemui pada final Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2026 di Arena Universiti Malaya, malam tadi.








