ISTANBUL: Hamas semalam menegaskan penangguhan pilihan raya Palestin hingga September tahun depan, sepatutnya membuka jalan kepada 'dialog kebangsaan yang menyeluruh', lapor Anadolu Ajansi.
Hamas menekankan bahawa keadaan ketika ini tidak memungkinkan pilihan raya yang bebas dan adil di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.
Kumpulan pejuang itu sekali gus menyatakan kesediaan untuk menyertai rundingan yang 'serius serta produktif' bagi mencapai persetujuan yang mengikat mengenai penyusunan semula institusi Palestin, khususnya Majlis Kebangsaan Palestin dan Majlis Perundangan Palestin.
Hamas turut menggesa persetujuan dicapai berhubung strategi kebangsaan yang merangkumi program politik bersama, pengaturan bagi tempoh peralihan, dan usaha menghadapi ancaman serius Israel terhadap perjuangan Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza.








