Ramallah: Israel enggan membenarkan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pusat Palestin memasuki Baitulmaqdis Timur atau Semenanjung Gaza bagi membuat persiapan pilihan raya perundangan.

Menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa, keputusan itu meningkatkan kebimbangan kemungkinan pilihan raya berkenaan ditangguhkan atau dibatalkan seperti yang berlaku pada 2021.

Pilihan raya perundangan Palestin dijadualkan berlangsung pada 28 November, kira-kira sebulan selepas pilihan raya umum Israel.

Jika diteruskan, pilihan raya itu akan menjadi yang pertama diadakan dalam tempoh dua dekad.

Kementerian Pertahanan Israel dan COGAT iaitu badan bertanggungjawab terhadap urusan awam di wilayah Palestin, setakat ini masih tidak memberi maklum balas kepada permintaan AFP untuk mengesahkan keputusan menghalang pegawai berkenaan.