KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tiada wang simpanan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) digunakan bagi membiayai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk 40,000 petugas masjid dan guru takmir seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata pembiayaan itu menggunakan 100 peratus peruntukan khas kerajaan yang disalurkan melalui TH, yang bertindak sebagai pengurus bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan.
"Segala dakwaan atau andaian yang menyatakan wujudnya penggunaan wang simpanan jemaah haji adalah sama sekali tidak benar dan berunsur spekulatif," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif itu membabitkan imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti mereka dalam hal ehwal Islam.









