KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap mempertimbangkan peluasan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama kepada hartanah bernilai sehingga RM1 juta bagi membantu lebih ramai pembeli memiliki kediaman sendiri, khususnya di kawasan bandar berkos tinggi.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Bhd, Datuk Seri FD Iskandar, berkata harga rumah yang lebih tinggi di kawasan seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang menyebabkan ramai pembeli tidak mendapat manfaat daripada had kelayakan pengecualian sedia ada.
"Kami berterima kasih kepada kerajaan atas komitmen berterusan dalam menggalakkan pemilikan rumah. Bagi memperkukuh usaha ini, kami mencadangkan agar pengecualian duti setem diperluas kepada pembeli yang benar-benar ingin menaik taraf kediaman dalam julat harga berkenaan, supaya keluarga yang berpindah ke rumah yang lebih sesuai dengan keperluan mereka turut mendapat manfaat.








