GEORGE TOWN – Semua institusi pendidikan di Pulau Pinang akan beroperasi seperti biasa esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua kawasan pemantauan di negeri ini berada di bawah paras 100.

Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bacaan IPU sehingga pukul 12 tengah hari tadi menunjukkan keadaan kualiti udara masih terkawal.

Bagaimanapun, JPNPP memaklumkan operasi semua institusi pendidikan pada Isnin, 12 Oktober itu tertakluk kepada sebarang arahan terbaharu daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak berkuasa berkaitan.

Menurut kenyataan itu, JPNPP bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah akan terus memantau bacaan IPU melalui sumber rasmi dan menilai perkembangan kualiti udara di lokasi masing-masing.