PETALING JAYA – Belum reda terkejut melihat sebuah motosikal merempuh belakang kereta, orang ramai dikejutkan pula dengan kemunculan sebuah motosikal lain yang bergerak sendiri tanpa penunggang di Lebuh Raya Persekutuan.
Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan sebelum dikongsikan pengguna Threads @agentren.gg hari ini.
Menerusi perkongsian itu, rakaman berkenaan memaparkan kejadian kemalangan melibatkan sebuah motosikal yang merempuh belakang kereta ketika melalui lebuh raya berkenaan pada 6 Oktober lalu, kira-kira pukul 7.09 pagi.
Bagaimanapun, situasi menjadi lebih mencuri perhatian apabila sebuah lagi motosikal dilihat muncul dari sebelah kiri kereta sebelum bergerak tanpa kelibat penunggang.









