Kuala Lumpur: Insentif perumahan dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan hari ini disifatkan menyeluruh kerana mampu merangsang industri hartanah serta memperkukuh perlindungan sosial bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kediaman yang selamat dan bermaruah.
Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, komitmen agensi berkaitan amat diperlukan bagi memastikan matlamat itu dapat direalisasikan demi kemakmuran bersama.
"Antaranya, pengecualian penuh duti setem bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000 selain rumah berharga sehingga RM750,000, turut mendapat pengecualian penuh bagi RM500,000 pertama, manakala baki selebihnya menerima pengecualian 50 peratus adalah langkah positif yang dapat mengurangkan kos awal pembelian kediaman," katanya ketika mengulas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.









