SINGAPURA: Firefly membatalkan semua penerbangan berjadual antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Seletar di Singapura dari 10 hingga 12 Oktober sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan berikutan keadaan cuaca dan jerebu.
Dalam satu makluman, syarikat penerbangan itu berkata pembatalan berkenaan membabitkan enam perkhidmatan harian, iaitu FY3122 dan FY3123, FY3124 dan FY3125, FY3126 dan FY3127, FY3128 dan FY3129, FY3130 dan FY3131, serta FY3132 dan FY3133.
"Penumpang yang terjejas sedang dihubungi dan ditempatkan semula dalam penerbangan Malaysia Airlines yang tersedia menerusi laluan Kuala Lumpur-Singapura, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk.
"Penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan menerusi penerbangan yang dijadualkan semula layak menerima bayaran balik penuh, yang akan dikreditkan semula ke kaedah pembayaran asal dalam tempoh 30 hari bekerja," menurut makluman bertarikh 10 Oktober itu.









