KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempercepatkan penyerapan pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap.

Menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata setakat Julai lalu seramai 3,545 pegawai farmasi masih berkhidmat secara kontrak, manakala 115 lagi berada dalam senarai simpanan bagi urusan lantikan tetap.

"Senarai menunggu lantikan tetap masih dalam proses, namun saya sendiri menetapkan satu komitmen untuk mempercepatkan proses penyerapan mereka," katanya selepas Majlis Pelancaran 'Roadmap' Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026-2030 sempena Bulan Kesedaran Kanser Hati, hari ini.

'Roadmap' itu akan memfokuskan kepada saringan serta stratifikasi risiko fibrosis sebagai pengesanan awal penyakit hati di fasiliti kesihatan primer bagi kedua-dua hepatitis dan non-hepatitis cause iaitu penyakit hati berlemak dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi diabetes dengan obesiti dan seterusnya dipantau melalui survelan HCC.