KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempercepat proses penyerapan pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap, dengan 3,545 pegawai masih berkhidmat secara kontrak setakat Julai lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, seramai 115 pegawai farmasi lagi berada dalam senarai simpanan atau menunggu pelantikan tetap.

“Ini masih lagi dalam proses dan saya sendiri mahu meletakkan satu komitmen untuk mempercepatkan proses penyerapan mereka dalam perkhidmatan tetap,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026–2030 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan jumlah pegawai farmasi yang bakal dilantik atau tempoh pelaksanaan proses berkenaan.