Kuala Lumpur: Johor menjadi negeri paling terjejas akibat jerebu apabila lapan daripada 14 stesen pemantauan kualiti udara di negeri itu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

​Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat jam 4 petang hari ini, Pasir Gudang merekodkan bacaan IPU tertinggi di Johor iaitu 177, diikuti Larkin (176), Kota Tinggi (165) dan Pengerang (159).

​Empat lagi kawasan di Johor yang turut melepasi paras Tidak Sihat adalah Segamat (158), Kluang (158), Tangkak (158) dan Batu Pahat (154).

​Selain Johor, beberapa stesen di Pantai Timur turut merekodkan kualiti udara yang merosot termasuk Kuala Terengganu (162), Kemaman (158), Balok Baru Kuantan (158) dan Paka (154). Secara keseluruhan, sebanyak 48 stesen mencatatkan tahap sederhana, manakala lima stesen berada pada tahap baik.