Mandalika: Pelumba MotoGP Yamaha, Alex Rins mendedahkan dia menerima ugutan bunuh daripada peminat susulan insiden membabitkannya dengan seorang marshal pada Grand Prix (GP) Indonesia.

Pelumba Sepanyol itu dirakam terbabit dalam pertikaman lidah dengan beberapa marshal selepas tamat sesi Latihan, Jumaat lalu.

Rins menjelaskan pada selepas perlumbaan pecut semalam bahawa seorang marshal memintanya menaiki skuter kerana menyangka dia akan dibawa kembali ke kawasan paddock, sebelum diberitahu bahawa perkara itu tidak akan berlaku.

Rins kemudian dikritik kerana menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah kepada marshal berkenaan, tindakan yang kemudian menyaksikannya tampil memohon maaf.