SEPANG: Masyarakat diingatkan berwaspada dengan aktiviti penipuan pakej haji dan umrah oleh individu atau pihak tidak berlesen, termasuk pakej badal haji pada harga tidak munasabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya meneliti dan memantau pakej diragui bagi mengelak masyarakat menjadi mangsa penipuan.

"Sebelum ini, ada tawaran pakej badal haji pada harga serendah RM2,500 hingga RM5,000.

"Hampir mustahil untuk menawarkan pakej pada harga murah, sekarang ini pakej badal haji semuanya sudah mahal," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan (KHUP 5) di Movenpick Hotel & Convention Centre (MHCC) di sini, hari ini.