JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) dan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) di semua sekolah di negeri ini akan ditangguhkan susulan penutupan semua sekolah di negeri ini esok akibat jerebu.

Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dalam kenyataan berkata, penangguhan dan penjadualan semula MPT4 serta pentaksiran lain akan dibuat mengikut ketetapan Lembaga Peperiksaan dan JPNJ.

“PKSK yang dijadualkan pada esok ditangguhkan. Tarikh baharu akan dimaklumkan JPNJ. Penjadualan semula PKSK bagi calon yang terbabit akan dimaklumkan kemudian berdasarkan ketetapan JPNJ. Guru dan pegawai yang terbabit tidak perlu hadir bagi pelaksanaan pentaksiran berkenaan.

“Berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, guru dan kakitangan sekolah dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, manakala pegawai di JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan bertugas seperti biasa.