BEIJING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melakukan lawatan kerja empat hari ke China bermula esok bagi memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam perdagangan, pelaburan, teknologi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Duta Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad berkata lawatan dari 12 hingga 16 Oktober itu merangkumi siri pertemuan dengan kepimpinan Kerajaan China di Beijing sebelum Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dijadual menghadiri Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sedunia (WVTEDC) 2026 di Tianjin bermula 15 Oktober ini.

Beliau berkata agenda di Beijing akan bermula dengan mesyuarat dua hala bersama dengan Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang diikuti pertemuan dengan Menteri Keselamatan Awam, Wang Xiaohong serta beberapa siri perjumpaan dengan syarikat perdagangan bagi meneroka peluang kerjasama ekonomi.