PETALING JAYA – Hantaran berbentuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM100,000 disifatkan sebagai antara hadiah perkahwinan paling bijak kerana mampu memberikan manfaat kewangan jangka panjang kepada pasangan.

Perkara itu dikongsikan Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di media sosial yang mengaitkan pemberian simpanan persaraan dengan pasangan selebriti, Syed Saddiq dan Bella Astillah.

Menurut perkongsian itu, wang hantaran lazimnya digunakan untuk membiayai pelbagai persiapan perkahwinan termasuk katering, pelamin dan majlis keraian yang hanya berlangsung sehari.

Bagaimanapun, wang yang disimpan dalam KWSP berpotensi berkembang menerusi dividen tahunan, sekali gus menjadi tabungan untuk kegunaan pada masa depan.