KUALA LUMPUR: Pelakon, Hannah Delisha tidak menolak kemungkinan untuk melangkah ke belakang tabir sebagai pengarah atau penerbit sekiranya diberikan peluang dan rezeki pada masa depan.

Bagaimanapun, Hannah menyedari bidang pengarahan bukan sesuatu yang boleh diceburi secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan proses panjang serta pengalaman yang mencukupi untuk memastikan hasil karya yang dihasilkan berkualiti.

“Kalau diberikan rezeki dan keberanian, Insya-Allah, memang mahu. Ada, ada keinginan itu cuma memerlukan banyak perkara. Ia satu proses yang panjang. Bukan semua orang boleh terus jadi pengarah.

“Sebenarnya boleh sahaja nak jadi pengarah atau penerbit, boleh, tetapi sama ada dia berkualiti atau tidak, itu yang saya cakap, tak semua orang boleh buat,” katanya kepada Utusan Malaysia.