KOTA BHARU: Seorang lelaki menyerah diri kepada polis selepas dipercayai menikam isterinya yang merupakan jururawat sebanyak enam kali menggunakan sebilah pisau di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, Kadok di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia 44 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian badan serta leher akibat serangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, suspek yang berusia 47 tahun itu dan seorang penganggur ditahan selepas hadir menyerah diri kepada polis.
Katanya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam sama dan suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Polis belum mengenal pasti motif kejadian. Suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.










