MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-16, manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, writ pilihan raya dikeluarkan hari ini selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berhubung pengisytiharan pembubaran DUN Melaka ke-15 pada 23 September lalu.

Menurutnya, susulan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini dan memutuskan PRU DUN Melaka ke-16 perlu diadakan bagi mengisi kekosongan 28 kerusi DUN berkenaan.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 31 Oktober sehingga 11.59 malam, 13 November,” katanya dalam sidang media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-16 di Banda Hilir, di sini hari ini.