DUBAI: Ibu bapa yang merakam gambar atau video kanak-kanak di kawasan sekolah tanpa kebenaran boleh dikenakan denda sehingga Dh500,000 (RM556,000) di bawah undang-undang privasi Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Denda itu akan dikenakan jika aduan dibuat kepada pihak berkuasa.
Hukuman denda itu dibuat selepas Gulf News melaporkan pada Isnin bahawa sekolah di Dubai dan Sharjah mengeluarkan pekeliling meminta ibu bapa dan pelawat supaya tidak merakamkan gambar pelajar di kawasan sekolah.
Pekeliling itu juga meminta ibu bapa tidak berkongsi gambar yang memaparkan kanak-kanak lain menerusi kumpulan WhatsApp, media sosial atau platform digital lain tanpa kebenaran sewajarnya.
Terdapat sebahagian ibu bapa mungkin menganggap perkara itu hanya berkaitan dengan memuat naik gambar untuk tatapan umum. Namun, Gulf News diberitahu bahawa undang-undang UAE juga boleh terpakai terhadap perbuatan merakamkan gambar tanpa kebenaran dan berkongsinya secara peribadi.








