GUA MUSANG – Seorang wanita dan bayi perempuannya maut, manakala tujuh lagi cedera dalam nahas melibatkan tiga buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kampung Paloh 3 di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.10 petang sebelum jentera tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.08 petang.

Katanya, kemalangan itu membabitkan tiga buah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal jenis Modenas.