Garut, Indonesia: Hanya kerana berasa tidak dipedulikan ketika menghadiri perjumpaan bekas pelajar sekolah, seorang lelaki melepaskan tembakan menggunakan senapang angin sehingga mencederakan mata kiri rakannya sendiri di Garut, Jawa Barat, lapor Liputan6.
Ketua Polis Garut, AKBP Niko N. Adi Putra, berkata suspek bertindak demikian kerana berasa tidak dihargai ketika menghadiri perjumpaan berkenaan.
"Dia merasakan dirinya tidak dipedulikan dan akhirnya tersinggung sehingga cuba melepaskan tembakan," katanya pada Sabtu.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun dikenali sebagai MH di rumah saudaranya di Gang Babakan Pogor, Desa Mangkurakyat, Kecamatan Cilawu, Kabupaten Garut, pada 9 Oktober lalu selepas memburunya selama beberapa hari.










