KATHMANDU: Lima orang dilaporkan hilang selepas banjir kilat di Sungai Budhi Gandaki menghanyutkan 65 rumah di daerah Gorkha dan Dhading di tengah Nepal.

Jurucakap Pasukan Polis Bersenjata Nepal, Netra Bahadur Karki berkata, lima orang dilaporkan hilang di daerah Gorkha, manakala pihak berkuasa masih mengumpulkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

Beliau turut memaklumkan banjir berkenaan memusnahkan dua jambatan untuk kenderaan dan dua jambatan gantung.

Menurut kenyataan Tentera Nepal, banjir itu berpunca daripada kejadian tanah runtuh di kawasan perbandaran luar bandar Chumanubri, daerah Gorkha, yang menyebabkan aliran Sungai Budhi Gandaki tersekat.