JAKARTA: Kerajaan Indonesia mempergiat usaha memadam kebakaran hutan di beberapa wilayah, termasuk menerusi ujian penggunaan cecair pemadam buatan Brazil di Sumatera Selatan.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman berkata, kerajaan akan mengoptimumkan pelbagai kaedah pemadaman, sama ada melalui operasi udara mahupun darat, bagi menangani kebakaran yang masih berlaku.
“Kebetulan, kita menerima bantuan dari Brazil dalam bentuk cecair yang boleh disembur dan mendap untuk memadamkan kebakaran. Kita sudah menguji cecair ini di Sumatera Selatan dan Kalimantan.
“Diharapkan usaha ini dapat diteruskan supaya kebakaran dapat dipadamkan dengan cepat,” kata Dudung selepas mesyuarat dua hala antara Presiden Prabowo Subianto dengan rakan sejawatannya dari Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, di Kompleks Istana Presiden di Jakarta pada Ahad, menurut laporan ANTARA.









