JAKARTA: Indonesia terus bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan dan tanah yang menjejaskan 31 hektar lagi kawasan di tiga wilayah di Sulawesi serta Papua, di luar enam wilayah keutamaan yang menyaksikan operasi pemadaman telah berlarutan selama beberapa bulan.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Berton Panjaitan, berkata kebakaran seluas 20 hektar yang tercetus pada 4 Oktober lalu di Mamuju, wilayah Sulawesi Barat, masih aktif setakat Jumaat lalu dengan asap merebak ke komuniti berhampiran.

"Kerajaan tempatan turut menggali parit menggunakan jentera berat bagi mengelak api merebak di bawah permukaan tanah gambut," katanya dalam satu kenyataan, semalam.