RANAU: Hujan lebat berterusan sejak petang tadi mengakibatkan tanah runtuh dan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Kundasang, dengan sebuah Perodua Kancil dipercayai dihanyutkan arus hingga terbalik di tebing jalan kampung.

Kejadian berlaku di Kampung Sinisian (Kampung Gorowot) dengan kereta terbabit ditemukan terbalik di kawasan runtuhan tanah berhampiran laluan masuk utama.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian di Kampung Sinisian itu kira-kira jam 5.58 petang.

Pemeriksaan di lokasi mendapati sebuah Perodua Kancil terbalik di tebing jalan dengan kawasan runtuhan dianggarkan seluas 223 meter persegi.