Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memuji semangat juang pemain muda negara selepas mereka mara ke final Piala Suhandinata di Kaherah, Mesir, semalam.

Menerusi hantaran di media sosial, Tengku Zafrul berkata beliau tetap bangga dengan skuad remaja negara, sambil menegaskan kekalahan 1-2 kepada China tidak seharusnya menenggelamkan usaha dan pencapaian mereka pada Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia.

"Nasib tidak menyebelahi kita. Tetapi saya tetap bangga dengan pemain muda kita!" katanya.

Mengimbas kembali pesanan kepada pasukan sebelum mereka berlepas ke Kaherah, Tengku Zafrul berkata beliau menggesa pemain memberikan yang terbaik, menikmati pengalaman beraksi di pentas dunia serta mengharumkan nama Jalur Gemilang.