AMPANG JAYA – Beberapa peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kabel serta bahan disyaki dadah ditemukan dalam sebuah pikap Isuzu D-Max yang tular dikejar polis di Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 11 pagi.
“Anggota bertugas di Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima maklumat daripada anggota kereta peronda polis yang sedang mengejar kenderaan berkenaan.
“Kedua-dua suspek berjaya ditahan ketika berada di persimpangan Jalan Jelatek dengan Jalan Taman Setiawangsa, berhampiran stesen minyak Caltex Setiawangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.









