GUA MUSANG – Peserta Program Literasi Pendaftaran sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara Peringkat Negeri Kelantan terpaksa berjalan kaki kira-kira 20 minit selepas 15 trak pikap yang mereka naiki terkandas dan tidak dapat melintasi Sungai Balar akibat paras air meningkat petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu dipercayai berlaku susulan hujan di kawasan hulu sungai yang menyebabkan paras air Sungai Balar meningkat sehingga menghalang kenderaan daripada menyeberang.
Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda, Mohd. Arifuddin Azahari, 37, berkata, peserta terbabit terpaksa menggunakan jambatan gantung untuk menyeberangi sungai sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki atau menumpang kenderaan pacuan empat roda lain.










