London: Manchester City bakal berdepan suasana penuh permusuhan dan ketegangan yang belum pernah mereka alami sebelum ini apabila bertandang ke Anfield untuk menentang Liverpool, malam ini.
Jika City menyenaraikan kelab paling tidak mahu mereka kunjungi sejurus didapati bersalah atas semua pertuduhan berkaitan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara musim 2009/10 hingga 2017/18, Liverpool pasti berada di tempat teratas dengan tanda merah.
Hubungan kedua-dua kelab sering tegang sejak lebih sedekad lalu, didorong rasa tidak puas hati penyokong Liverpool yang percaya mereka sepatutnya memenangi lebih banyak gelaran EPL berbanding City.
Pada musim 2013/14, 2018/19 dan 2021/22, Liverpool menamatkan saingan di tempat kedua di belakang City. Dalam dua musim terakhir itu, Liverpool hanya ketinggalan satu mata, sekali gus mencetuskan persaingan domestik paling sengit dalam beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya ketika Pep Guardiola dan Jurgen Klopp mengemudi kedua-dua pasukan.










