KEPALA BATAS: Seorang pemancing terkejut menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap terapung di kawasan tali air dekat Kampung Permatang Pak Elong, di sini, petang tadi.

Penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dihubungi untuk membantu mengangkat mayat berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 3.52 petang.

"Anggota operasi mengangkat mayat ke kawasan selamat sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.