SUNGAI PETANI – Seramai 14 individu direman bagi membantu siasatan kes bunuh Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 19, yang mayatnya ditemukan di tepi semak di Gurun, dekat sini, semalam.
Kesemua suspek lelaki berusia antara 16 hingga 24 tahun itu ditahan di sekitar Gurun sejak semalam dan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk permohonan reman.
Majistret Noor Fazlina Musa membenarkan 12 suspek direman enam hari, manakala dua suspek yang masih di bawah umur direman lima hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan mayat Muhammad Haikal ditemukan orang awam di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club dengan kesan kecederaan pada muka dan kepala kira-kira pukul 8 pagi semalam.








