KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman telah memfailkan saman fitnah terhadap pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berhubung hantaran yang dibuat di media sosial didakwa mempersoalkan kesetiaannya kepada Malaysia.

Ganabatirau selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Firdaus yang dinamakan sebagai defendan tunggal pada 8 Oktober lalu melalui firma guaman, Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di sini.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, Ganabatirau mendakwa Firdaus Wong menyiarkan kenyataan berunsur fitnah pada 28 Julai menerusi akaun media sosial milik pendakwa berkenaan.

Hantaran itu menyentuh mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika lawatannya ke Malaysia pada 8 Februari lalu.