Kuching: Seorang wanita ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang, di sini, hari ini.

Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu ditemukan pasukan bomba ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan selepas wanita itu dipercayai terperangkap dalam rumah berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.57 petang.

Menurutnya, sepasukan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bersama bantuan BBP Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai.