BATU PAHAT – Identiti dua wanita yang rentung selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Ayer Hitam-Yong Peng, di sini petang tadi, dikenal pasti.

Mereka dikenal pasti sebagai Siti Nurmaisarah Abdul Jali dan Siti Nur Batrisya Moha Khalid, masing-masing berusia 22 tahun, dipercayai berasal dari Kampung Parit Sagil, Ayer Hitam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans sebelum mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.21 petang.