Minat terhadap pakaian ‘vintage’ pernah membuatkan pelakon, Fadhli Masoot sanggup berbelanja sehingga mencecah RM1,500 dalam tempoh satu malam demi menambah koleksi peribadinya.
Ketika masih bujang dan mempunyai lebih banyak masa lapang, pemilik nama Mohd Fadhli Masoot itu bukan sahaja gemar mencari pakaian klasik, malah turut mendalami pengetahuan mengenai barangan vintage.
“Sebelum berumah tangga, ketika masih mempunyai banyak masa lapang, saya memang suka mengumpul pakaian. Saya juga belajar mengenai barangan vintage. Ketika itu, memang boleh dikatakan saya agak ketagih. Setiap kali pergi ke kedai, saya boleh berbelanja RM800, RM1,000 sehingga RM1,500 dalam satu malam.
“Ada masanya saya terfikir juga mengapa membeli begitu banyak pakaian. Namun, semua yang dibeli memang saya pakai. Apabila digayakan, ada yang mengatakan penampilan saya kelihatan klasik dan vintage. Bagi saya, itulah kepuasannya,” katanya kepada Pancaindera.








