SUNGAI BULOH: Peluang bergandingan dengan bintang filem Indonesia, Dian Sastrowardoyo, menerusi filem The Fox King (Semusim Lara) menjadi pengalaman berharga buat pelakon, Idan Aedan, yang mengagumi sikap rendah diri dan keterbukaan aktres itu ketika bekerja.
Idan, 22, berkata, tanggapan bahawa pelakon yang cukup dikenali menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) itu bersikap sombong atau 'diva' jauh meleset daripada realiti, sebaliknya Dian seorang yang mesra, mudah didekati dan sentiasa terbuka menerima pandangan orang lain.
Malah, Idan atau nama sebenarnya, Muhammad Shahidan Abdullah, menganggap peluang bekerja bersama pelakon berpengalaman itu sebagai impian yang menjadi kenyataan, selain membuka ruang untuknya menimba ilmu dalam bidang lakonan.









