Kuala Lumpur: Pelakon, Idan Aedan menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang melabelkan bintang filem Indonesia, Dian Sastrowardoyo sebagai seorang yang sombong atau bersikap 'diva'.
Idan, 22, yang berpeluang bekerjasama dengan pelakon filem Ada Apa Dengan Cinta itu menerusi filem The Fox King menyifatkan pengalaman berlakon bersama Dian sebagai satu impian yang menjadi kenyataan.
"Tanggapan bahawa dia sombong atau 'diva' itu salah sama sekali. Dia sangat rendah diri, bersikap terbuka dan amat suka bekerjasama.
"Untuk seorang bintang besar yang mempunyai nama tersohor sepertinya, dia tidak segan untuk bertanya pendapat kami di set penggambaran. Bagaimana, kami mahu menjayakan sesuatu babak dan perkara itu membuatkan saya rasa amat kagum," katanya kepada Harian Metro.









