Kota Bharu: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mengesahkan perceraian secara taklik membabitkan jururawat selepas suaminya melanggar lafaz taklik dengan menikam wanita itu enam kali di Ketereh, 5 Oktober lalu.
Hakim Mohd Anwan Ab Muttalib membuat keputusan itu selepas mendengar pengakuan lelaki berusia 47 tahun berkenaan dalam prosiding yang berlangsung kira-kira sejam.
Mahkamah mendapati defendan melanggar Seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002, yang memperuntukkan perceraian melalui taklik atau janji bersyarat yang dibuat ketika perkahwinan.
Mohd Anwan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan perbuatan suami yang menyebabkan kecederaan fizikal terhadap isterinya, sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan ketika perkahwinan mereka.









