KOTA BHARU: Jururawat yang parah ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, Isnin lalu, pernah membuat laporan polis pada Ogos mendakwa diugut bunuh oleh lelaki itu.
Seorang saudara terdekat yang enggan dikenali berkata, mangsa sedang dalam proses memohon perceraian selepas enam tahun berkahwin kerana mendakwa kerap diugut suami setiap kali mereka bertengkar.
Katanya, mangsa membuat laporan polis pada akhir Ogos lalu dan sejak itu, tidak tinggal bersama suspek berusia 47 tahun.
"Dia sedang dalam proses memohon perceraian kerana tidak lagi mampu tahan dengan (dakwaan) ugutan berulang kali itu," katanya ketika ditemui, hari ini.
Beliau berkata, mangsa sebelum ini tinggal di Kampung Perol, namun berpindah tinggal bersama ibu di Padang Lepai, dekat Ketereh, kira-kira sebulan lalu selepas berlaku perselisihan faham dengan suspek.








