KUALA LUMPUR: Permohonan nombor buku standard antarabangsa elektronik (eISBN) meningkat 78.07 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan perkembangan penerbitan digital yang semakin pesat dalam industri perbukuan negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid, berkata 4,544 permohonan eISBN direkodkan hingga Ogos lalu, manakala jumlah penerbitan berdasarkan permohonan nombor buku standard antarabangsa (ISBN) meningkat 16.87 peratus pada 2025 berbanding 2024.

Beliau berkata, penerbitan sendiri atau "swaterbit" turut mencatat peningkatan 56.76 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.

"Perubahan ini membuka ruang lebih luas kepada penulis untuk menerbitkan karya, namun kebebasan itu perlu disertai dengan kualiti, profesionalisme, perlindungan hak cipta serta strategi pemasaran yang baik," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Citra Penulis 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), di sini, hari ini.