am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jururawat yang ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, Isnin lalu, pernah membuat laporan polis pada Ogos selepas didakwa menerima ugutan bunuh daripada lelaki itu.

Seorang saudara terdekat yang enggan dikenali berkata, mangsa sedang dalam proses memohon perceraian selepas enam tahun berkahwin kerana kerap kali menerima ugutan daripada suaminya setiap kali mereka bertengkar.

Menurutnya, mangsa membuat laporan polis pada akhir Ogos lalu dan sejak itu tidak lagi tinggal bersama suspek yang berusia 47 tahun.

"Dia sedang dalam proses memohon perceraian kerana tidak lagi mampu menahan ugutan berulang kali itu," katanya ketika ditemui hari ini.