Utah, Amerika Syarikat: Seorang wanita berusia 61 tahun yang aktif dalam kecergasan memecahkan rekod dunia miliknya sendiri selepas bertahan dalam posisi plank selama lima jam pada temasya Huntsman World Senior Games di sini.
Memetik laporan United Press International (UPI), DonnaJean Wilde melakukan percubaan memecahkan rekod itu sempena majlis pembukaan temasya sukan berkenaan yang meraikan pencapaian sukan dalam kalangan individu berusia lebih 50 tahun.
Wilde bertahan dalam posisi plank selama lima jam, sekali gus memecahkan Rekod Dunia Guinness (GWR) miliknya sendiri iaitu empat jam, 30 minit dan 11 saat yang dicatatkan pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Huntsman World Senior Games, Kyle Case berkata, pencapaian Wilde mencerminkan matlamat utama penganjuran temasya sukan warga emas itu.








